Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    6 negara Afrika terima teknologi vaksin mRNA

    BRUSSELS, 18 FEB – Enam negara Afrika telah dipilih untuk menghasilkan vaksin mRNA mereka sendiri, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan benua itu sebahagiannya terputus daripada akses kepada vaksin COVID-19.

    Mesir, Kenya, Nigeria, Senegal, Afrika Selatan dan Tunisia dipilih sebagai pe-nerima pertama teknologi daripada hab vaksin mRNA global WHO, dalam usaha untuk memastikan Afrika boleh menghasilkan vaksinnya sendiri dalam kempen memerangi COVID-19 dan penyakit lain.

    “Lebih 80 peratus daripada populasi Afrika masih belum menerima sebarang dos. Sebahagian besar ketidaksamaan ini didorong oleh pengeluaran vaksin di seluruh dunia yang bertumpu di negara berpendapatan tinggi,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada satu majlis mengenai isu sampingan sidang kemuncak EU-Afrika di Brussels.

    “Salah satu pengajaran paling ketara mengenai pandemik adalah keperluan terdesak untuk menambah pengeluaran vaksin tempatan, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.”

    Tedros telah menggesa akses saksama kepada vaksin demi membendung pandemik, dan mengecam cara negara kaya merebut dos vaksin, meninggalkan Afrika ketinggalan di belakang benua lain dalam usaha vaksinasi global.

    Buat masa sekarang, hanya satu peratus vaksin yang digunakan di Afrika dihasilkan di benua dengan kira-kira 1.3 bilion penduduk itu.

    WHO menubuhkan hab pemindahan teknologi mRNA global di Afrika Selatan tahun lalu untuk menyokong pengeluar di negara berpendapatan rendah menghasilkan vaksin mereka sendiri.

    Peranan hab global adalah memastikan pengeluar di negara berkenaan mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin mRNA pada skala besar-besaran dan mengikut standard antarabangsa. – AFP

    Dari kiri: Ursula von der Leyen, Abdel Fattah el-Sisi, Cyril Ramaphosa, Macky Sall, Charles Michel, Emmanuel Macron, Uhuru Kenyatta dan Kais Saied bergambar di podium selepas menghadiri sidang media pada sidang kemuncak EU Afrika di Brussels kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...