Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Enam orang pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menyertai Program Pertukaran Keselamatan Maritim Brunei-Jepun JENESYS yang berlangsung di Jepun bermula esok.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada kumpulan pegawai berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.
Program selama tujuh hari berkenaan bermatlamat untuk mendalami lagi ilmu pengetahuan para peserta mengenai keselamatan maritim Jepun.
Apabila tiba di Jepun, para peserta akan menyertai sesi taklimat yang diberikan oleh Coast Guard Jepun dan agensi perikanan Jepun.
Semasa program lawatan itu, rombongan pegawai akan mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat menarik di Jepun. Menerusi program berkenaan, para pegawai diharap akan mendapat pengalaman yang bermanfaat serta mempromosikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai Jepun dan usahanya dalam keselamatan maritim.