6 pelajar SM YSHHB sertai program inap desa di Jepun

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Enam orang pelajar Tahun 9 dan 10 serta seorang guru dari Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) telah berlepas ke Jepun, hari ini, bagi Program Inap Desa SM YSHHB ke Wakayama, Jepun ke-7.

Rombongan yang diketuai oleh guru sekolah berkenaan, Rowena Lam, disertai oleh Awangku Muhd Amal Hazizi bin Pengiran Haji Yussof, Awang Ahmad Muqri bin Muhtar, Awang Mohd Hafiy Nu’aim bin Haji Mohd Sheh, Awang Muhammad Thaqif Asyraf bin Hassan, Dayang Nurul Faizah binti Mohd Rizal, dan Dayang Aqilah Syukrina binti Na’ain yang akan pulang ke tanah air pada 6 Disember depan. Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan ialah Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen.

Tujuan utama program ialah bagi memberikan pengalaman tinggal bersama keluarga-keluarga angkat di Jepun.

Dengan program itu, para pelajar diharap dapat melihat lebih dekat lagi cara hidup orang-orang Jepun melalui warisan budaya, etika dan nilai-nilai kehidupan terutama dalam arus kemajuan teknologi masa kini dan kemasukan pengaruh barat di negara mereka serta memahami bagaimana pemuliharaan dan pengadunan budaya tradisi dan moden membawa kesan yang positif. Di samping mempelajari geografi serantau, fizikal dan ekonomi Jepun di Wakayama dan Osaka, ia juga bertujuan bagi mengetahui mengenai pelbagai industri tempatan, perdagangan serta perniagaan Jepun.

Selain itu, ia juga memberi kesedaran tentang amalan penjimatan tenaga dan isu alam sekitar dan merasa sendiri iklim sejuk di negara berkenaan. Tempat yang akan dilawat sepanjang program tersebut ialah industri keluli, KAO Cooperation, Wakayaman Castle, Yuasa Traditional Area, Soy Sauce Brewery, Inamiura No Hi No Yakata (Tsunami Educational Centre), Keifu High School, dan Michiru Nursery School.

Rombongan juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada gabenor Wilayah Wakayama dan datuk Bandar Kimino serta diberi peluang bagi melihat tunjuk cara pemotongan ikan tuna di Marina City.

Rombongan SM YSHHB bergambar ramai bersama Chong Li Chen sebelum berlepas ke Jepun.