BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Enam orang pelajar Program Pra-Vokasional dari Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Abu Bakar, SM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SM PAPHM) dan SM Sayyidina Husain yang telah menamatkan penempatan latihan kerja mereka di Little Gems Day Care Centre, Lambak dan Tanjung Bunut pada November lalu telah menerima sijil masing-masing, hari ini.
Para pelajar berkenaan telah diraikan pada majlis yang berlangsung di Little Gems Day Care cawangan Lambak di mana penyampaian sijil kepada lima orang pelajar dari SM Sayyidina Abu Bakar dan SM PAPHM telah disempurnakan oleh Pengurus Little Gems Day Care Cawangan Lambak, Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Haji Ahmad, manakala itu, Pengurus Little Gems Day Care Cawangan Tanjung Bunut, Haji Jumaat bin Salleh, menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang pelajar dari SM Sayyidina Husain.
Turut hadir pada majlis itu ialah pengetua dari tiga buah sekolah menengah berkenaan, pegawai pelajaran kanan dari Jabatan Sekolah-sekolah, pegawai dari Unit Pendidikan Khas (UPK) dan empat orang guru.
Penempatan latihan kerja pelajar berkenaan telah diuruskan oleh Jabatan Sekolah-sekolah untuk membantu sekolah menengah kerajaan dan UPK dalam mengenal pasti peluang bagi pelajar berkeperluan khas mendapatkan pengalaman kerja bersesuaian dengan minat dan kebolehan pelajar dan berdekatan dengan rumah mereka.
Little Gems Day Care telah bekerjasama dengan Jabatan Sekolah-sekolah sejak 2017 dan telah menyatakan sokongan dalam menyediakan peluang penempatan latihan kerja untuk pelajar Program Pra-Vokasional pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kesemua cawangannya.
Pada masa ini, Little Gems Day Care mempunyai empat cawangan iaitu Kiarong, Lambak, Tanjung Bunut di Daerah Muara dan Brunei dan Sengkarai di Daerah Tutong.
Sebagai tanda penghargaan, Timbalan Pengetua Akademik SM Sayyidina Abu Bakar, Hajah Junaidah binti Haji Tajudin; Timbalan Pengetua Pentadbiran SM PAPHM, Pengiran Mohd Ariffin bin Pengiran Haji Aliuddin dan Pengetua SM Sayyidina Husain, Dayangku Hajah Noramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad masing-masing menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Little Gems Day Care.





























