6 pelancong maut akibat cuaca buruk

THESSALONIKI, 11 JULAI – Puting beliung dan ribut hujan batu ganas mengorban-kan enam pelancong di utara Greece lewat semalam, kata polis.

Sementara puluhan lagi tercedera apabila angin kencang membadai rantau Halkidiki, berhampiran bandar di sini, kata pihak berkuasa.

Rakaman televisyen menunjukkan kenderaan terbalik, pokok tumbang, bumbung berlubang serta banjir lumpur.

“Enam pelancong terbunuh dan sekurang-kurangnya 30 orang cedera ketika puting beliung itu membadai,” kata ketua perlindungan awam di utara Greece, Charalambos Steriadis.

Ribut ganas itu berlaku hanya kira-kira 20 minit, menurut saksi yang ditemu bual oleh stesen televisyen tempatan ERT. Pasangan dari Czechoslovakia maut apabila angin kencang menerbangkan karavan mereka sementara seorang lelaki Rusia dan anak lelakinya maut ditimpa pokok tumbang, kata polis.

Serpihan dari sebuah bangunan meragut nyawa seorang wanita dari Romania dan anaknya. Menurut polis pelabuhan, seorang nelayan berusia 60an turut hilang dalam cuaca buruk itu.

“Ia adalah satu fenonema tidak dijangka dengan angin amat kencang, puting beliung dan ribut hujan batu ganas,” kata Steriadis, menambah Halkidiki mengisytiharkan darurat. Sekurang-kurangnya 140 penyelamat terbabit dalam operasi, kata ketua kecemasan Vassilis Varthakoyannis.

Menteri Perlindungan Awam, Michalis Chryssohoidis, akan melawat tapak bencana pagi hari ini. Ribut itu berlaku selepas suhu di Greece meningkat kepada 37 darjah Celsius sejak dua hari lalu. – AFP

Keadaan pondok berupa payung dan kerusi rehat di salah sebuah pantai yang rosak selepas ribut di Nea Plagia, di Chalkidiki, utara Greece. – AFP