6 pelumba haram kena kompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Susulan serbuan terhadap satu kegiatan lumba haram di kawasan lapang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong pada malam 26 Januari lalu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mengambil tindakan terhadap tujuh orang pemandu kenderaan bermotor yang terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPD, di sini, hari ini, jabatan berkenaan telah mengarahkan pemilik-pemilik kenderaan terbabit untuk membawa kenderaan mereka ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan, Ibu Pejabat JPD Gadong untuk pemeriksaan lanjut.

Kenyataan menjelaskan bahawa hasil pemeriksaan JPD mendapati enam buah kenderaan yang terbabit dalam lumba haram telah diubahsuai tanpa kebenaran, sehubungan itu, JPD telah mengarahkan para pemilik kenderaan berkenaan untuk mengubah semula bentuk kenderaan mengikut spesifikasi asal.

Kenyataan turut mengatakan bahawa susulan kesalahan tersebut juga, dua daripada kenderaan yang terbabit telah ditarik semula lesen kenderaannya.

Di samping itu, 14 kompaun telah dikeluarkan kepada enam pemandu kerana membuat kesalahan mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran.

JPD memaklumkan bahawa mana-mana pemandu kenderaan bermotor yang tidak mematuhi Peraturan 3 Peraturan Lalulintas Jalan Raya Penggal 68 iaitu kenderaan yang tidak mematuhi Akta dan Peraturan Lalulintas Jalan Raya dan Kenderaan yang diubahsuai, boleh dikenakan kompaun berikut iaitu kesalahan pertama $50, kesalahan kedua $150, kesalahan ketiga $300, kesalahan keempat $500 dan kesalahan seterusnya, pemandu boleh dihadapkan ke mahkamah.

Kenyataan turut menyatakan bahawa di bawah Bab 37A (7) Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68, iaitu mana-mana orang yang menganjurkan atau yang mengambil bahagian dalam apa-apa pertandingan atau ujian kelajuan tanpa kelulusan bertulis pesuruhjaya polis dan mana-mana pemandu atau orang yang bertanggungjawab terhadap apa-apa pertandingan atau ujian kelajuan adalah bersalah kerana melakukan satu kesalahan dan akan dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $1,000 tetapi tidak lebih daripada $2,000 dan penjara enam bulan. Sekiranya sabit kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak kurang daripada $2,000 tetapi tidak lebih daripada $3,000 dan penjara 12 bulan.

JPD seterusnya memohon kerjasama orang ramai untuk mengongsikan sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya dengan menghubungi Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn dengan menyertakan gambar mengenai kenderaan terbabit.

Antara kenderaan yang diperiksa oleh JPD didapati telah diubahsuai tanpa kebenaran. – Gambar serahan JPD