Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Enam buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda setelah wakil syarikat-syarikat tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kerana gagal mematuhi Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35), pada Januari 2022.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, Cementone Sdn Bhd, Keyangan Sdn Bhd, Multiaire Engineering Sdn Bhd, Hi-Kujaya Sdn Bhd dan Hasinah Sdn Bhd masing-masing telah dikenakan denda sebanyak $5,000 kerana gagal mengemukakan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.
Sementara itu, SKBB Properties & Development Sdn Bhd telah dikenakan denda sebanyak $4,000 kerana gagal menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2019.
Kenyataan tersebut menyatakan bahawa syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat-syarikat, Penggal 39, dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan sebagai salah satu tanggungjawabnya di bawah Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35.
Kegagalan untuk menghadapkannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan, Penggal 35 yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda sebanyak $10,000 dan jika gagal membayar akan dipenjarakan selama 12 bulan.
Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya lagi, mengingatkan bahawa mana-mana syarikat yang disabit bersalah disebabkan kegagalan menghadapkan penyata cukai pendapatan, adalah masih dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan yang tertunggak dan seterusnya membayar cukai pendapatan dan penalti iaitu maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang tertunggak, jika ada, yang telah dikenakan disebabkan kegagalan berkenaan.