Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan RTB
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Pertandingan Akhir Bintang Harmoni 2022 akan berlangsung pada 12 November, bermula pukul 8 malam di Jerudong Park Amphitheatre.
Sehubungan itu, Radio Televisyen Brunei (RTB) telah mengadakan menandatangani perjanjian tajaan bersama beberapa buah syarikat bagi pertandingan berkenaan, pada majlis yang berlangsung di Bangunan Utama Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh RTB, di sini, menandatangani bagi pihak RTB ialah Pemangku Pengarah, Cheong Chee Keong, manakala, syarikat-syarikat penaja iaitu Awinco Sdn Bhd, Jaquar World Brunei, Restoran Raziqin, Hotel Radisson Brunei Darussalam, Syarikat Khadeeja Towards Modesty dan Say-cheese Event Management telah diwakili oleh pengurus atau wakil syarikat masing-masing.
Bintang Harmoni yang sebelum ini dikenali sebagai Bintang Radio dan mula dianjurkan pada 1960, merupakan salah satu daripada usaha berterusan RTB untuk mendukung industri seni tanah air dan mengangkat bakat-bakat tempatan.
Pada tahun ini, seramai 10 orang peserta telah terpilih untuk bertanding dalam peringkat akhir.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan dan memeriahkan lagi malam pertandingan berkenaan. Siaran langsung pertandingan boleh diikuti melalui saluran RTB Aneka dan RTBGo termasuk rangkaian radio, Harmoni FM.