6 tentera Iraq cedera dibedil roket

BAGHDAD, 9 DIS – Seramai enam tentera Iraq cedera selepas beberapa roket dilancarkan terkena sebuah kompleks tentera Iraq yang turut menempatkan pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Iraq, hari ini.

Menurut kenyataan tentera, pasukan keselamatan menemui pelancar bersama roket tidak berfungsi sambil menegaskan ia satu serangan besar-besaran yang telah dirancang.

Ia adalah insiden terbaharu membabitkan serangan roket untuk menyasarkan sama ada pangkalan Iraq yang menempatkan tentera atau kedutaan AS di Baghdad.

Sementara itu, pegawai pertahanan AS mempersalahkan beberapa pihak yang menyokong Iran di Iraq.

Sumber keselamatan memberitahu AFP bahawa mangsa tercedera terdiri daripada anggota Perkhidmatan Anti-Keganasan Iraq iaitu sebuah unit yang diwujudkan dan dilatih oleh tentera AS. Katanya, dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan kompleks tentera itu turut menempatkan kumpulan kecil tentera dan diplomat AS. Setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab dan tiada laporan bahawa tentera AS cedera dalam serangan itu. – AFP.