6 terkorban insiden letupan silinder di kilang kimia

NEW DELHI, 12 Sept – Sekurang-kurangnya enam buruh maut manakala beberapa orang lagi cedera pada Rabu dalam satu insiden letupan silinder di sebuah kilang kimia di negeri Uttar Pradesh yang terletak di utara India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan para pegawai kerajaan.

Kilang itu terletak di daerah Bijnor, kira-kira 443 kilometer di barat laut Lucknow, ibu kota Uttar Pradesh.

“Pagi ini, enam buruh terbunuh manakala beberapa orang lagi cedera selepas sebuah silinder metana meletup di sebuah kilang kimia di Jalan Kotwali di sini.

Letupan itu mencetuskan kebakaran besar yang meranapkan kilang tersebut,” seorang majistret sub-daerah Bijnor memaklumkan Xinhua menerusi telefon.

Laporan menyebut silinder itu meletup ketika buruh terbabit melakukan kerja-kerja kimpalan bagi memperbaiki kebocoran dalam sebuah tangki.

Menurut para pegawai berkenaan, sejumlah 11 pekerja berada dalam kilang itu ketika letupan berlaku.

Susulan insiden itu, anggota pasukan polis dan respons bencana tiba di tempat kejadian untuk menghantar mangsa yang cedera ke hospital serta mengeluarkan mayat.

Insiden letupan sering berlaku di kilang-kilang di India kerana pemiliknya dipercayai mengabaikan piawaian keselamatan. – Bernama