Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 60 penuntut dari pusat-pusat tingkatan enam seluruh negara telah menyertai bengkel Run with Confidence: The Technique Form anjuran Majlis Belia Brunei (MBB), dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan komuniti Larian Tanpa Batas.
Bengkel berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, kelmarin, di mana hadir menyampaikan sijil selaku tetamu kehormat ialah Pengarah JBS, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Umi Kalthum menyatakan bahawa bengkel tersebut adalah salah satu inisiatif untuk mempromosi kemahiran asas dan meningkatkan literasi fizikal dalam kalangan semua peringkat.
Beliau juga menegaskan, belia harus mempunyai asas yang kukuh dengan melibatkan diri dalam tiga persekitaran iaitu darat, dalam air dan udara, untuk membolehkan seorang individu terus bergiat aktif dalam aktiviti fizikal atau riadah secara mampan sehinggalah peringat usia yang tidak terhad.
Bengkel berkenaan telah dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih dari Larian Tanpa Batas. Para penuntut turut diajarkan teknik larian yang betul termasuk teknik pernafasan, kelajuan dan pergerakan kaki.
