Oleh Daniel Lim
BELAIT, 9 Mei – Sebanyak 60 buah keluarga asnaf fakir dan miskin yang menetap di sekitar Mukim Liang menerima agihan zakat dengan jumlah keseluruhan $22,220, pada majlis penyerahan agihan zakat kendalian Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Masjid Zainab, Lumut itu dihadiri oleh Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Rajid bin Haji Mohd Salleh, selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyerahan agihan zakat.
Turut hadir ialah ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kerajaan serta penduduk kampung.
Bagi tahun ini, sejumlah $1,333,570 telah dibahagikan dalam kalangan 8,435 orang penerima di seluruh negara daripada hasil kutipan zakat fitrah dan zakat harta.
Pemangku Setiusaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop menjelaskan bahawa majlis yang diadakan secara tahunan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dan membantu mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya yang menjelang tiba.
Salah seorang penerima, Dayang Jusnani binti Haji Bujang, yang mewakili suaminya, meluahkan rasa syukur dan gembira selepas menerima agihan zakat tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa ini adalah kali pertama beliau dan keluarganya me-nerima agihan zakat itu, dan akan menggunakan agihan zakat itu sebaiknya dengan membeli barangan keperluan harian dan persiapan Hari Raya nanti.
Sehubungan itu, MUIB merancang untuk terus mengadakan majlis seumpamanya di seluruh negara, memastikan kesemua orang yang memerlukan dapat menerima agihan zakat masing-masing sekali gus meringankan beban kehidupan mereka.