60 kotak minuman keras dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 6 SEPT – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merampas sejumlah 60 kotak barang tegahan berupa minuman keras yang ditemui di Simpang 211, Kampung Batang Tuau, Mukim Bangar, Daerah Temburong hari ini.

Menurut kenyataan PPDB Balai Polis Temburong, minuman alkohol itu ditemui hasil maklumat dan aduan diterima ahli pengawasan kejiranan (PK) mengenai kereta berpendaftaran negara ini yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Sejurus menerima maklumat tersebut, anggota Balai Polis Temburong dikerahkan ke tempat kejadian bagi memastikan kesahihan laporan dan menjalankan siasatan.

Hasil pemeriksaan menemui 60 kotak minuman keras di dalamnya. Kereta dan barangan tegahan itu dibawa ke balai polis bagi siasatan.

Kesemua barangan rampasan berserta kertas penyiasatan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, PPDB memaklumkan pasukan itu dan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang lain akan terus mempertingkatkan keupayaan memperkasa usaha kerajaan membanteras dan mengesan serta menangani isu-isu berkaitan jenayah rentas sempadan sehingga ke akar umbi.

Pemantauan dan pembanterasan kegiatan sedemikian akan sentiasa utuh dan tidak
akan terputus demi menanai hasrat negara untuk memastikan anasir-anasir negatif
dan berupa jenayah diluputkan dengan sehabisnya.

Sejumlah 60 kotak minuman keras yang berjaya dirampas selepas ditemui oleh ahli PK di Kampung Batang Tuau, Temburong. – Gambar serahan PPDB