60 orang ditahan ingkari larangan bantahan

HONG KONG, 1 OKT – Polis Hong Kong menahan sekurang-kurangnya 60 orang kerana disyaki mengadakan perhimpunan tidak dibenarkan pada cuti Hari Kebangsaan China hari ini selepas orang ramai berkumpul di jalan daerah membeli-belah popular sambil melaung slogan prodemokrasi.

Mereka yang ditahan termasuk dua anggota Majlis Perbandaran, kata polis dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook. Mereka berkata orang ramai ditahan selepas mereka tidak menghiraukan amaran meminta mereka bersurai.

Panggilan dalam talian menyeru orang ramai menyertai bantahan itu, dan ramai penduduk hadir di daerah membeli-belah Causeway Bay di Hong Kong, ada di antara mereka melaung ‘Bubarkan polis’ dan ‘Bebaskan Hong Kong, revolusi era kami,’ slogan prodemokrasi popular yang telah diharamkan oleh kerajaan Hong Kong kerana didakwa berbaur fahaman pemisah.

Jumlah kehadiran polis mengatasi pembantah di tempat perhimpunan.

Hari Kebangsaan, yang meraikan penubuhan Republik Rakyat China, telah menjadi hari bantahan di Hong Kong oleh mereka yang menentang kawalan Beijing ke atas bandar separa autonomi itu. Bantahan besar-besaran dilarang disebabkan sekatan penjarakan sosial berpunca daripada koronavirus.

Pada tengah hari, polis mengepung beberapa kawasan di daerah dan memeriksa orang di jalan raya. Beberapa kali, mereka mempamerkan sepanduk yang menggesa pembantah supaya bersurai, berkata mereka mengambil bahagian dalam perhimpunan haram.

Pada resepsi Hari Kebangsaan, pemimpin Hong Kong Carrie Lam berkata ‘kestabilan telah dikembalikan kepada masyarakat sementara keselamatan negara telah dilindungi’ di bawah undang-undang baharu itu. – AP

Seorang pegawai polis menunjukkan sepanduk pada Hari Kebangsaan China di Causeway Bay, Hong Kong, kelmarin. – AP