Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    60 pelajar terkandas akibat banjir berjaya diselamatkan

    CHIANG RAI, 12 SEPT – Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk membawa 60 murid sekolah ke tempat selamat di bandar Chiang Rai, utara Thailand hari ini selepas mereka terkandas akibat banjir yang dikatakan penduduk sebagai banjir terburuk dalam beberapa dekad.

    Kanak-kanak itu, pelajar di Sekolah Samakkhi Witthayakhom, menghabiskan malam yang menakutkan apabila terperangkap di asrama ketika air banjir, yang disebabkan oleh hujan lebat dari Taufan Yagi, naik mendadak pada petang kelmarin.

    Berjuta-juta orang di seluruh Asia Tenggara sedang berdepan dengan banjir dan tanah susur selepas Yagi melanda wilayah itu pada Sabtu, mengakibatkan hujan lebat yang membanjiri utara Vietnam, Laos, Thailand dan Myanmar.

    Salah seorang murid yang terperangkap dalam banjir menceritakan pengalaman pahit itu kepada AFP.

    “Saya berasa takut, kerana air banjir naik dengan cepat sehingga kami tidak sempat bersedia,” kata pelajar berusia 18 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Kraiwit.

    “Kami terperangkap di sana sejak petang semalam pada pukul 3 petang hingga hari ini. Terdapat juga penduduk kampung berhampiran yang berenang untuk berlindung daripada banjir, kira-kira 60 hingga 70 orang.”

    Philip Pornchai, seorang paderi Roman Katolik yang menyelaraskan usaha menyelamat di sekolah itu, berkata air naik secara tiba-tiba.

    “Kami berjaya memindahkan kira-kira 800 kanak-kanak, tetapi 60 orang tertinggal,” katanya kepada AFP.

    Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut hari ini ketika paras air terus meningkat. – AFP

    Pasukan penyelamat tempatan mengambil pelajar sekolah yang terperangkap semalaman di sebuah sekolah semasa banjir di bandar Chiang Rai, utara Thailand, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda