Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    60 pelajar UNISSA terima pingat, hadiah buku

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini, telah meraikan kecemerlangan para pelajar pada Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku Sempena Hafl Al-Takharruj ke-11 UNISSA di Goldstone  Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong. 

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman yang juga merupakan pengerusi Majlis UNISSA.

    Penolong Rektor (Akademik), Prof Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad dalam ucapannya selaku pengerusi bersama majlis berkata, UNISSA menyediakan empat jenis pingat  iaitu Pingat Canselor, Pingat  Pro Canselor, Pingat Rektor dan Pingat Universiti. 

    Pada waktu yang sama, UNISSA menyediakan hadiah buku bagi empat  kategori yang berbeza iaitu hadiah buku bagi tahun akhir, hadiah buku bagi selain tahun akhir, hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Al-Quran (aliran Arab dan juga aliran Inggeris) dan hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Melayu Islam Beraja.

    Beliau menambah bahawa kesemua pingat dan hadiah buku berkenan mempunyai kriteria masing-masing. Secara umumnya, kriteria dinilai bukan sahaja dari sudut kecemerlangan dalam akademik, aktiviti serta khidmat masyarakat, bahkan yang paling penting adalah kecemerlangan syaksiah.

    Majlis menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan pingat dan hadiah buku kepada 60 orang penerima iaitu seorang penerima Pingat Rektor, enam orang penerima Pingat Universiti dan 53 orang penerima hadiah buku bagi pelbagai kriteria.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; timbalan setiausaha tetap (pengajian tinggi), pemangku timbalan rektor, penolong-penolong rektor, ketua Bahagian Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan dan ahli Senat UNISSA. 

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa menyampaikan pingat dan hadiah buku kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda