60 peratus kes positif di Sabah libatkan kes import

KOTA KINABALU, 26 MEI – Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, lebih 60 peratus kes COVID-19 di negeri itu adalah jangkitan dari dalam negeri yang kebanyakannya terdiri daripada kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia telah membahagikan kes jangkitan COVID-19 kepada empat kategori iaitu Kes Import A yang membabitkan rakyat Sabah baru pulang dari luar negara dan mendapat jangkitan dari negara lain seperti Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Indonesia.

“Kes Import B pula membabitkan rakyat Sabah yang baru pulang dan mendapat jangkitan dari luar negeri (Sabah) terutama dari Semenanjung Malaysia; Kes Import C membabitkan kes jangkitan (dalam negeri) tetapi dikesan di luar daerah tempat pesakit bermastautin dan kategori keempat adalah Kes Tempatan iaitu jangkitan dalam daerah tempat pesakit bermastautin.

“Majoriti kes jangkitan di Sabah adalah kontak kepada Kes Import B iaitu mereka yang dijangkiti di Semenanjung dan baru pulang ke Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Christina berkata tiada kes baharu dilaporkan semalam dan jumlah kes bagi negeri Sabah kekal 343.

Sementara itu, beliau berkata penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi Sabah disambung semula semalam melalui empat penerbangan sewa khas yang membawa seramai 1,148 pelajar.

Dr Christina berkata kesemua pelajar akan diperiksa oleh petugas kesihatan di pintu masuk lapangan terbang. – Bernama

Kakitangan Malaysia Airlines Berhad membantu pendaftaran masuk sebahagian daripada lebih 500 pelajar institut pengajian tinggi dari negeri Sabah yang beratur di balai pelepasan domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah menjalani pemeriksaan ‘swab’ COVID-19, kelmarin.
– Bernama