BOGOTA, 16 MAC – Sekurang-kurangnya 60 buah rumah ranap dalam kejadian tanah runtuh di utara Peru kelmarin, lapor agensi Anadolu memetik pihak berkuasa.
Setakat ini, enam orang dilaporkan hilang dalam kejadian pada 8:30 pagi waktu tempatan yang dicetuskan oleh hujan lebat, di perkampungan Andes Retamas di wilayah La Libertad.
Jumlah mangsa yang hilang mungkin meningkat, kata pesuruhjaya polis, Retamas Carlos Alberto Valderrama.
“Setakat ini empat mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan dan 100 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya.
Misi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
Kejadian itu berlaku di kawasan syarikat Consorcio Minero Horizonte menjalankan aktiviti perlombongan.
Menurut syarikat berkenaan kejadian tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti perlombongan namun, pihaknya telah menyediakan peralatan untuk membantu misi menyelamatkan mangsa yang mungkin terperangkap.
Presiden Peru, Pedro Castillo berkata pihak berkuasa sedang menyelaraskan tindakan untuk menangani bencana itu.
“Kami akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada keluarga terjejas,” kata Castillo di akaun Twitternya. – Bernama