Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Seramai 60 orang telah menghadiri Sesi Bual Bicara ke-4 bagi Program Santai-santai Berkongsi bertajuk Yes to Family Time bersempena dengan Hari Keluarga Kebangsaan 2022, yang berlangsung secara maya, kelmarin.
Sesi berkenaan diadakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan para peserta terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, persatuan badan-badan bukan kerajaan (NGO), penuntut-penuntut institut pengajian tinggi dan orang awam.
Program berkenaan merupakan salah satu aktiviti bulanan JAPEM yang dikendalikan oleh Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak dengan menjemput wakil-wakil daripada rakan-rakan strategik JAPEM, persatuan NGO dan organisasi-organisasi yang berkenaan dengan objektif untuk mengongsikan isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal kemasyarakatan.
Pada sesi keempat ini, ia dikendalikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat di JAPEM, Dayang Siti Alifah binti Awang Osman selaku moderator dan ahli panel jemputan ialah Pegawai Psikologis (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Dayang Nur Syahirah Chua binti Mohammad Firdaus Chua.