60 tamat kursus urus jenazah

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 11 Mac – Seramai 60 orang peserta termasuk 30 orang peserta perempuan telah menerima sijil tamat Kursus Pengurusan Jenazah bagi Belia dan Beliawanis pada majlis penutup kursus yang diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kiudang, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mahri bin Haji Metusin yang juga selaku ketua imam Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel.

Kursus sehari itu telah ditunjuk ajar oleh tenaga pengajar yang berkemahiran dalam hal ehwal pengurusan jenazah yang terdiri daripada Haji Mohd Aidil Sofian bin Haji Mohd Yassin dan Awang Mohd Fauzi bin Haji Anuar.

Manakala bagi tenaga pengajar kursus perempuan ialah Pengapai dari Unit Tanah Perkuburan Orang Islam Daerah Tutong, Dayang Sariyah binti Haji Daud.

Adapun tujuan kursus dijalankan adalah untuk memberikan bimbingan dan pendekatan mengenai pengurusan jenazah serta memberikan peluang kepada para belia mempelajari cara-cara betul menguruskan jenazah yang lebih akmal (lebih sempurna) dari segi cara memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan jenazah.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama peserta-peserta dan tenaga pengajar Kursus Pengurusan Jenazah.