600 migran bersesak dalam treler diselamatkan

BANDARAYA MEXICO, 21 NOV – Institut Migrasi Kebangsaan Mexico melaporkan kira-kira 600 pendatang dari 12 buah negara diselamatkan selepas ditemukan bersesak dalam dua lori traktor ketika sedang dalam perjalanan merentas sempadan.

Dalam kenyataan institut itu, seramai 145 wanita dan 455 lelaki yang dikesan di Veracruz itu dikenal pasti bukan hanya berasal dari negara Amerika Tengah tetapi juga dari negara benua Afrika serta wilayah India.

Kebanyakan imigran berkenaan berasal dari Guatemala, Honduras dan Nicaragua manakala terdapat 37 lagi warga Bangladesh, enam Ghana serta masing-masing seorang India dan Cameroon.

Ketua Suruhanjaya Hak Asasi negara, Tonatiuh Hernandez berkata migran itu dikesan ‘bersesak-sesak’ dalam dua treler.

“Ada kanak-kanak, mereka di bawah usia malah saya melihat wanita mengandung serta orang sakit,” katanya.

Kedudukan negara itu yang menjadi penghubung antara negara dari Amerika Tengah dan Amerika Syarikat (AS) dikesan menjadi pintu masuk bagi sejumlah besar pendatang.

Malah sebelum ini, terdapat dua karavan yang berisi ratusan migran turut dikesan mahu masuk melalui selatan Mexico dan memperoleh dokumen yang membolehkan mereka transit melalui negara itu. – AFP

Pendatang bersesak di perkarangan pejabat Peguam Negara selepas mereka dipintas dari dalam trak kargo yang dipandu di lebuh raya di Coatzacoalcos, negeri Veraruz, Mexico. – AP