6,000 penduduk di Rwanda dipindahkan

KIGALI, 19 DIS – Hampir 6,000 penduduk dari zon berisiko tinggi di beberapa bahagian di Rwanda dipindahkan berikutan hujan lebat yang melanda sejak tiga minggu pertama Disember, lapor agensi berita Xinhua.

Seramai 4,000 penduduk memilih untuk tinggal sementara bersama saudara masing-masing, 1,500 lagi tinggal di rumah kerajaan manakala 300 yang lain berlindung di sekolah, kata Menteri Kerajaan Tempatan Anastase Shyaka.

Sementara itu Menteri Alam Sekitar Jeanne d’Arc Mujawamariya berkata walaupun hujan lebat mula berhenti pada minggu ketiga, namun langkah-langkah pencegahan masih perlu dilaksanakan.

Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat telah menjejaskan kebanyakan jambatan dan jalan raya utama.

Data rasmi menunjukkan cuaca melampau menyebabkan lebih 250 kematian di negara Afrika tahun lalu dan pada tahun ini lebih 100 orang maut, kira-kira 5,000 rumah rosak dan lebih 9,000 hektar ladang musnah.

Di timur Afrika, sekurang-kurangnya 280 orang terbunuh dan lebih 2.8 juta yang lain terjejas pada awal Disember tahun ini, menurut Pejabat Penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA). – Bernama