6,000kg sampah dikutip

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Sept – Lebih 6,000kg sampah telah dikutip sepanjang Kempen Membersihkan Pantai bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait yang disertai oleh kira-kira 800 orang sukarelawan dari seluruh negara.

Kempen yang diadakan di sepanjang Pantai Jerudong dan Muara bagi Daerah Brunei dan Muara manakala di Daerah Belait, sepanjang Pantai Jubli Perak Jalan Maulana, Pantai W10 dan Pantai Sungai Liang telah dianjurkan oleh Brunei Shell Joint Venture (BSJV) yang terdiri daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) bersama Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC).

Acara kali kelima itu adalah sebagai memperingati International Coastal Clean-up 2018 dan pada tahun ini ia diketuai oleh Pengarah Urusan Syarikat BSP dan Pengerusi Shell Negara bagi BSJV, Dr Ceri M Powell, dengan dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan daripada k BSJV dan BGC serta sukarelawan.

Sementara itu, aktiviti di kawasan sepanjang Pantai Sungai Liang telah diketuai oleh Pengurus HSE Syarikat Brunei LNG, Adeshina Waheed Sadiq.

Pengarah Urusan Syarikat BSP mengetuai Kempen Membersihkan Pantai.
Antara sukarelawan yang menyertai kempen membersihkan kawasan sepanjang Pantai Jubli Perak Jalan Maulana dan Pantai W10.

Dalam ucapan ringkas sebelum memulakan kerja gotong-royong itu, beliau telah merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang melibatkan diri dalam kempen tersebut selain turut menyarankan untuk sentiasa menjaga keselamatan semasa melakukan kerja-kerja pembersihan pantai.

Katanya, aktiviti tersebut juga merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat tersebut selaku ahli masyarakat di negara ini dan dunia.

Turut menyertai kempen di Pantai Sungai Liang termasuklah belia-belia daripada beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) antaranya BruWILD, Straw Wars Borneo dan Bwn Cafe Hoppers, Green Brunei, serta pegawai-pegawai Syarikat BSP dan Brunei LNG bersama-sama ahli keluarga mereka, syarikat-syarikat rakan perniagaan, ahli-ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Liang serta guru-guru dan pelajar sekolah-sekolah di mukim tersebut.

Acara tahunan itu dianjurkan sebagai menyokong usaha sukarelawan satu hari terbesar dalam membersihkan kawasan sepanjang pantai, tasik dan sungai, International Coastal Clean-up yang diselaraskan oleh Ocean Conservancy.