61.9% sudah lengkap dua dos vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Program Vaksinasi Kebangsaan terus meraih momentum apabila 6,140 orang lagi menerima suntikan vaksin COVID-19 kelmarin (2 November), menjadikan seramai 353,685 orang telah pun menerima satu dos vaksin iaitu 82.3 peratus daripada penduduk negara.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan jumlah pe-nerima vaksin satu dos itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Manakala, 266,192 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 61.9 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Dengan kadar dos lengkap tersebut, kini Negara Brunei Darussalam hanya memerlukan 8.1 peratus sahaja lagi untuk mencapai 70 peratus bagi beralih ke Fasa Peralihan.

Setakat ini, sebanyak 619,877 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua telah dilaksanakan, sejak ia bermula pada 3 April 2021.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 395,576 jumlah pemberian, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 82,166 jumlah pemberian.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 71, 755 jumlah pemberian, dan Daerah Temburong sebanyak 70,380 jumlah pemberian.

Seorang lelaki menerima suntikan vaksin semasa Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Asam pada 22 Oktober lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani