Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    61 guru, penuntut sertai Program SBDRM

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dengan matlamat untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan penuntut serta guru dalam menghadapi sebarang kejadian bencana, seramai 61 orang penuntut dan guru telah menyertai Program Kesedaran Awam Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Sekolah (Program SBDRM) Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bagi 2023.

    Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta program tiga hari berkenaan berlangsung di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, (SOAS) kelmarin, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengarah NDMC, Pengetua Maktab SOAS, wakil Pegawai Daerah Brunei dan Muara, wakil Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan serta para pegawai dan kakitangan NDMC dan pihak sekolah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NDMC, di sini, pada majlis berkenaan, Dayang Nor Hamidah menyampaikan sijil penyertaan dan penghargaan kepada para pelajar dan fasilitator yang terlibat dalam melaksanakan Program SBDRM.

    Program yang bermula 7 hingga 9 November itu dikendalikan oleh NDMC di bawah KHEDN dengan kerjasama pihak Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

    Dayang Nor Hamidah bergambar ramai dengan para penuntut dan guru semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN NDMC
    GAMBAR SERAHAN NDMC

    Ia disertai oleh penuntut Pembimbing Rakan Sebaya Tahun 9 hingga 11 dari Maktab SOAS, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Sayyidina Hassan, Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, Sekolah Menengah Awang Semaun dan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri.

    Sepanjang program itu, para penuntut dan guru berpeluang untuk mengetahui akan fungsi dan peranan NDMC di samping meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan mereka dalam mengenal risiko dan membuat tindakan yang betul dan selamat serta bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kejadian bencana.

    Di samping itu, para pelajar berpeluang mengikuti latihan berkumpulan seperti aktiviti Do’s and Don’ts sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana; Nature Power; Grab Bag; Hazard Visit dan Membentuk Pelan Tindakan Menghadapi Bencana di sekolah untuk kesiapsiagaan warga sekolah.

    Kenyataan menekankan, NDMC akan sentiasa menjalin hubungan kerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan dalam menangani kejadian bencana di negara ini, yang bertujuan untuk mencapai hasrat ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menghadapi apa jua cabaran bencana yang berkemungkinan berlaku.

    Dengan pengetahuan dan pengalaman yang telah diperoleh semasa menyertai program itu, ia diharapkan menjadi sebagai panduan bagi mengurangkan impak bencana ke atas kehidupan seharian masyarakat di negara ini termasuk warga sekolah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda