BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Seramai 61 orang telah mendaftar mengikuti Program Mari Belajar Bahasa Al-Quran (MBBQ) bagi sesi Ogos 2017 anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di universiti berkenaan.
Sebanyak tiga program telah ditawarkan kepada orang ramai selama tiga bulan iaitu Program Mari Belajar Bahasa Al-Quran (MBBQ), Program Kemahiran Bahasa Al-Quran (PKBQ) dan Program Tatabahasa Bahasa Al-Quran (PTBQ).
Program MBBQ akan diadakan sekali seminggu iaitu setiap hari Jumaat atau Ahad bermula pada 8:30 hingga 10:30 pagi. Manakala Program PKBQ dan PTBQ pula akan diadakan selama dua hari dalam seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Ahad bermula pada jam 8:30 hingga 10:30 pagi.
Sementara tenaga pengajarnya pula terdiri dari kalangan pensyarah-pensyarah Fakulti Bahasa Arab, UNISSA.
Tujuan Kursus Bahasa Al-Quran ini diadakan adalah untuk merealisasikan konsep Negara Zikir dan rakyat celik Al-Quran seperti mana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Bahasa Al-Quran juga merupakan bahasa yang menjadi sarana yang sangat efektif untuk memahami kemurnian perlaksanaan ibadah. Keistimewaan bahasa tersebut terserlah dengan penurunan Al-Quran itu sendiri yang bukan hanya ditujukan kepada Bangsa Arab sahaja, tetapi kepada seluruh umat manusia sepanjang zaman.
Dalam pada itu, universiti berkenaan juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk mengikuti program berkenaan. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, UNISSA di talian 2462000 sambungan 204/202 ataupun melayari laman sesawang www.unissa.edu.bn