61 sertai musabaqah menghafaz al-quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seramai 61 orang memperdengarkan bacaan masing-masing dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah yang bermula hari ini hingga 5 Mac di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Musabaqah berkenaan merupakan salah satu projek tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam dan ia merupakan pengisian dalam atur cara Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara yang diadakan setiap tahun.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, musabaqah dibahagikan kepada lima kategori iaitu Kategori A yang terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke bawah yang lahir pada 1 Mei 2007 dan selepasnya, tidak pernah menjadi johan dalam Kategori A dua kali berturut-turut dan bukan terdiri daripada penuntut institut pengajian tahfiz Al-Quran dalam dan luar negara.

Kategori B terbuka kepada murid-murid berumur 14 tahun ke atas dan tidak menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 10, 20 dan 30 juz empat kali berturut-turut secara kebelakangan dari tarikh tutup penyertaan, tidak pernah menjadi johan dalam Kategori B dua kali berturut-turut dan bukan terdiri daripada penuntut institut pengajian tahfiz Al-Quran dalam dan luar negeri.

Kategori C terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam Dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juz serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori C dua kali berturut-turut.

Kategori D pula terbuka kepada semua peringkat umur, tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam dalam kategori 30 juz dan tidak menjadi johan dalam Kategori D dua kali berturut-turut.

Sementara itu, Kategori E terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam kategori menghafaz 30 juz, dan hanya boleh menyertai musabaqah semula iaitu selepas dua tahun menjadi johan.

Salah seorang peserta memperdengarkan bacaan dalam Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.