6,137 kes baharu COVID-19 M’sia dalam kategori 1,2

KUALA LUMPUR, 10 NOV – Sebanyak 98.3 peratus atau 6,137 kes daripada jumlah keseluruhan 6,243 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini terdiri daripada kategori 1 dan 2, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.7 peratus atau 106 kes baharu COVID-19 pula dalam kategori 3 hingga 5.

“Sebanyak 543 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 279 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh COVID-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,068 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,430,122.

Beliau berkata tujuh kluster baharu dikenal pasti melibatkan dua kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster bagi kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM dan pendidikan tinggi.

“Negeri yang mencatat kluster baharu ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama