Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    629 graduan Politeknik Brunei diraikan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Seramai 629 orang graduan, 280 lelaki dan 349 perempuan, telah menerima sijil Diploma Tahap 5 masing-masing pada Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-7 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Disebabkan situasi endemik COVID-19 pada masa ini, beberapa graduan tidak dapat hadir ke majlis berkenaan.

    Majlis konvokesyen pada tahun ini telah dibahagikan kepada sesi pagi dan sesi petang, dengan mengambil kira Fasa Awal Endemik dan peraturan-peraturan khusus Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan situasi pandemik COVID yang masih lagi menular.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para gra-duan pada sesi pagi ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman manakala itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar pada sesi petang.

    Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Tertinggi Majlis Konvokesyen ke-7, dalam ucapan alu-aluannya pada sesi pagi mengongsikan jumlah keseluruhan pelajar yang mengikuti pengajian di PB sehingga hari ini yang telah mencapai seramai 2,493 orang.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyempurnakan penyampaian sijil kepada graduan yang diraikan.
    Antara graduan-graduan yang menerima sijil semasa Majlis Konvokesyen PB ke-7.

    Pada masa yang sama, beliau turut mengongsikan hasil Kajian Pekerjaan Graduan bagi Kelas 2020 di mana PB telah mencapai Kadar Graduan Mendapat Pekerjaan sebanyak 69.3 peratus, enam bulan selepas Majlis Konvokesyen PB ke-6, yang menunjukkan tahap kebolehpasaran graduan lepasan institusi berkenaan.

    Beliau menambah bahawa kadar pelajar berjaya menamatkan pengajian di PB pada 2021, iaitu graduan yang diraikan pada majlis berkenaan, telah mencapai 90.8 peratus yang menggambarkan pencapaian sangat memberangsangkan dari segi pengajaran dan pembelajaran di PB.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Anugerah Aktiviti Pengayaan kepada beberapa orang graduan, manakala itu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan Anugerah Inovasi (Silver Awards).

    Daripada 629 graduan, seramai 198 orang menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam jurusan program Perdagangan, 149 dalam jurusan program ICT, 195 dalam jurusan program Sains dan Kejuruteraan dan 87 dalam jurusan program Sains Kesihatan.

    Graduan-graduan berkenaan menamatkan program pengajian masing-masing selama tiga tahun yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah PB iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sekolah Sains dan Kejuruteraan dan Sekolah Sains Kesihatan.

    Diploma Tahap 5 adalah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK).

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi Lembaga Pengelola PB, ahli-ahli Majlis Lembaga Pengelola PB dan penaja-penaja anugerah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...