63 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Sebagai usaha untuk menambah tabung darah bagi membantu mereka yang memerlukan di negara ini, kempen-kempen menderma darah terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Sehubungan itu, Autoriti Monetari Negara Brunei Darussalam (AMBD), hari ini telah menganjurkan AMBD Blood Donation Drive 2019 dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

Kempen tersebut disertai oleh pegawai dan kakitangan AMBD dan jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan, di mana sebanyak 63 pain darah berjaya dikumpulkan.

Menurut salah seorang penderma darah, Dayang Norsalawati binti Jamaluddin (gambar bawah) ketika ditemu bual menyatakan kempen seumpama ini merupakan peluang bagi orang ramai untuk berbakti dan membantu masyarakat yang memerlukan.

Antara lain tujuan AMBD Blood Donation Drive ini adalah untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan menderma darah bagi menambah stok darah untuk keperluan pihak hospital selain meningkatkan kesedaran mengenai manfaat menderma darah.

Kempen ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab korporat sosial AMBD di bawah Program AMBD Gives Back yang berobjektif untuk menyumbangkan sumber dan tenaga AMBD kepada masyarakat di negara ini.