Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Sebanyak 63 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah sempena Hari Guru ke-28 anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Masyarakat, hari ini.
Kempen tersebut yang diadakan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Klinikal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baharu kementerian berkenaan.
Antara tujuan kempen ini adalah bagi membantu menambah tabung simpanan darah Hospital RIPAS sebagai usaha penyelamat nyawa dan melahirkan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dalam membantu golongan yang susah.
Kempen tersebut memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pendidikan serta orang ramai untuk menderma bagi usaha membantu mereka yang memerlukan darah dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru tahun ini.
