63 pelajar tamatkan tempoh pengasingan diri

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Perasaan penuh kesyukuran serta gembira dikongsikan oleh seramai 63 orang pelajar yang menamatkan tempoh pengasingan diri selama 14 hari di Hotel Grand City, Batu Bersurat kerana dapat bertemu dengan ahli keluarga sekali gus mengungkapkan penghargaan yang amat tinggi kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, para petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sentiasa menjaga, memberikan semangat dan menghulurkan bantuan.

Seorang pelajar dari Mesir, Awang Muhammad Mu’iz Zulfadhli bin Zulkeffli, meluahkan rasa syukur sepanjang tempoh pengasingan selama 14 hari, segala keperluan mereka dijaga dengan baik di mana kemudahan yang diperlukan termasuk makanan dan WiFi untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan secara dalam talian.

Beliau juga menyatakan bahawa sepanjang tempoh itu juga, keadaan mereka turut dipantau rapi dengan panggilan mengenai keadaan mereka dibuat setiap hari untuk memastikan mereka sihat serta tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom penyakit.

Menceritakan mengenai rutin harian sepanjang tempoh pengasingan diri itu, Awang Muhammad Mu’iz Zulfadhli berkata setelah sarapan pagi, beliau bersolat, membaca buku dan doa, mengambil angin dari tingkap, berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan menggunakan telefon supaya dapat mengisikan masa.

Baginya cabaran yang menduga dirinya adalah berjauhan dan tidak dapat bergaul dengan keluarga tetapi beliau memahami yang semua itu amat perlu kerana ia adalah untuk kebaikan semua termasuk diri mereka.

Para pelajar yang menamatkan pengasingan diri selama 14 hari kelihatan meninggalkan Hotel Grand City, Batu Bersurat.

Dalam cabaran itu juga, baginya terdapat hikmah tersendiri di mana mereka mempelajari untuk berdikari dan menguatkan lagi kesabaran dalam menempuhi dugaan.

Bagi pelajar dari Kaherah, Mesir, Dayang Anis Hazira binti Mohd Azmi, tempoh pengasingan diri selama 14 hari itu diisikan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dengan membaca Al-Quran dan mengulang kaji pelajarannya.

Baginya, cabaran sepanjang tempoh pengasingan diri itu menguji dirinya untuk tampil berani berhadapan dengan cabaran yang datang dan menyatakan bahawa perasaan takut tinggal bersendirian dalam bilik memang ada tetapi ia juga mengajarnya untuk tabah menerima dugaan.

Menceritakan mengenai proses balik ke Brunei dari Mesir, Dayang Anis Hazira berkata, baginya dan rakan-rakan lain, proses kembali ke tanah air dilaksanakan dengan sempurna dan lancar.

Apabila mereka tiba di Brunei, beliau amat kagum dengan layanan yang baik serta kebajikan mereka sentiasa dijaga oleh semua pihak dan beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak daripada petugas barisan hadapan, sukarelawan dan penderma yang memastikan mereka sentiasa diberikan perhatian, terjaga dan sihat.

Perkara yang serupa turut dikongsi oleh pelajar dari Kaherah, Mesir, Dayang Nurul Hamizah Sabli di mana baginya pengalaman menempuh tempoh pengasingan diri selama 14 hari adalah pengalaman yang sangat berharga yang memberikan peluang kepadanya untuk berdikari, bersolat dan tabah dalam menghadapi cabaran.

Pada masa yang sama, beliau akui semasa tempoh pengasingan itu, perasaan rindu terhadap keluarga kerana memang ada apabila berjauhan daripada mereka dan hanya dapat melihat mereka melalui tingkap.

Walaupun tempoh pengasingan diri itu amat mencabar, bagi beliau, ia adalah amat penting khususnya bagi mereka yang baru kembali dari luar negara, untuk memastikan bahawa mereka yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19 dapat dikesan dan menggelakkan virus berkenaan merebak kepada orang lain.