64 kes baharu, lima dalam pemantauan rapi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Sebanyak 64 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, sekali gus membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 787 orang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa terdapat tambahan kes-kes baharu kepada kluster-kluster aktif yang sedia ada iaitu 10 kes bagi Kluster Semporna Enak, 10 kes bagi Kluster Chung Hua KB, empat kes bagi Kluster ABCi, empat kes bagi Kluster Champion 7, tiga kes bagi Kluster BSP HQ, dua kes bagi Kluster Al-Falah/Freda Radin, satu kes bagi Kluster 477 dan satu kes bagi Kluster IBTE KB.

Selain itu, tambah beliau, terdapat dua kluster baharu telah dikesan iaitu dua kes baharu (Kes 765 dan 766) telah dikaitkan dengan Kes 635 yang dilaporkan pada 13 Ogos lalu dan kluster tersebut kini dikenali sebagai Kluster 635 (merujuk kepada Kes 635).

Manakala dua kes baharu (Kes 774 dan 776) telah dikaitkan dengan Kes 630 yang dilaporkan pada 14 Ogos lalu. Kluster tersebut kini dikenali sebagai Kluster SKH Gadong.

Sementara itu, menurutnya, satu kes baharu (Kes 755) pada hari ini telah dikaitkan dengan Kes 573 yang dilaporkan pada 13 Ogos. Manakala, terdapat 24 kes yang masih belum diketahui sumber jangkitannya.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa kes-kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenalpasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam pada itu, tiga kes telah disahkan sembuh membawa kepada jumlah kes yang sembuh sebanyak 333 kes. Ini bermakna terdapat 451 kes aktif telah direkodkan di Negara Brunei Darussalam.

Dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa dua kes berada dalam keadaan kritikal yang mana kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan dan lima lagi kes di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

“Ketujuh-tujuh kes ini belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 atau belum melengkapkan vaksin COVID-19,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,602 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 176,110 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.