Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    64 lagi kejadian pokok tumbang

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Sebanyak 64 panggilan mengenai kejadian pokok tumbang telah diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) pada 10 Julai sehingga pukul 12 tengah malam.

    Pihak JBP dalam kenyataannya di sini, menyatakan bahawa jabatan berkenaan telah menerima 49 panggilan pokok tumbang pada 9 Julai di mana ia merangkumi 17.8 peratus panggilan insiden pokok tumbang daripada 275 jumlah keseluruhan panggilan pokok tumbang yang diterima dari Januari hingga 9 Julai lalu.

    Statistik jumlah keseluruhan insiden pokok tumbang yang direkodkan oleh JBP pada 2022 iaitu sehingga 9 Julai, mencatatkan 187 panggilan bagi Daerah Brunei dan Muara iaitu 68 peratus, 38 panggilan bagi Daerah Belait iaitu 13.82 peratus, 26 panggilan bagi Daerah Tutong iaitu 9.45 peratus dan 24 panggilan bagi Daerah Temburong iaitu 8.73 peratus.

    JBP menyarankan orang ramai untuk tidak meletakkan kereta berdekatan dengan pokok-pokok besar kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini serta mengelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan mengamalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok berkenaan.

    Manakala itu, Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) menyatakan bahawa keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga 16 Julai dengan hujan berangin ribut berlaku sekali-skala, terutamanya pada waktu petang ke malan dan mungkin berlanjutan hingga ke awal pagi.

    Anggota bomba semasa mengalihkan pokok yang menghalang sebatang jalan dalam kejadian pokok tumbang baru-baru ini.

    Hujan dijangka sekali-skala lebat, berangin kencang dan berpetir dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60kmsj di kawasan darat manakala di kawasan perairan Brunei boleh mencapai sehingga 80kmsj.

    Keadaan laut, jelas BDMB, pada amnya berombak di paras sederhana, di bawah 2.0 m.

    Negara Brunei Darussalam sekarang masih berada dalam monsun barat daya di mana luruan angin barat daya dijangkakan menjadi lebih dominan dan keadaan atmosfera pada kebiasaannya agak stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan cuaca adalah aktif untuk beberapa hari kebelakangan ini, disebabkan pengaruh tekanan rendah di Laut China Selatan yang menyebabkan keadaan atmosfera lembap dan seterusnya menyebabkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

    BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa keadaan berangin ribut serta terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih sejam dan semasa kejadian air pasang.

    Orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh mendapatkannya melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...