Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    64 pegawai kadet ABDB ditauliahkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Upacara Sovereign’s Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-21, Sekolah Pegawai Kadet (OCS) yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan (AP), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu.

    Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir, dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya berkenan menerima tabik hormat diraja dan seterusnya memeriksa pasukan perbarisan di bawah perintah pegawai perbarisan, 1273 Kapten (U) Muhd Shah Redzuan bin Haji Mat Serudin yang kemudiannya disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh pegawai-pegawai kadet.

    Semasa upacara tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah. Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengurniakan anugerah-anugerah bagi pegawai-pegawai kadet terbaik pengambilan ke-21 yang didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Awang Muhd Asyraf bin Haji Amin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti London South Bank, United Kingdom (UK).

    Anugerah Pedang Kehormatan merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Baginda kepada pegawai kadet, dan ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi pegawai kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

    Baginda seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Wan Afifi bin Wan Ali, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), yang berkelulusan Sarjana dalam Logistik dari Universiti Brunei Darussalam (UBD). Pegawai ini dikurniakan anugerah tersebut berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan dijalankan.

    Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Mohammad Norhafiz bin Mohd Sani, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Shariah (Fiqh & Judiciary) dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Pengurniaan anugerah ini adalah berdasarkan kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

    Manakala Pegawai Kadet (U) Haji Mohammad Nasrullah bin Haji Mohammad Hidin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Matematik dari UBD pula telah menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Latihan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang pegawai kadet tersebut dalam latihan jasmani.

    Selesai pengurniaan anugerah-anugerah berkenaan, sembah ‘Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ dilaungkan sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya menerima pesambah yang bertemakan ‘Nahwa Attafawuq’ yang membawa maksud ‘Ke Arah Kecemerlangan’. Baginda seterusnya berkenan menghadiri Majlis Junjung Ziarah daripada pegawai-pegawai kadet yang baru ditauliahkan serta keluarga masing-masing; sebelum dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

    Seramai 64 orang pegawai kadet (yang terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita) telah ditauliahkan pada hari ini, yang mana 31 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), 14 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai TLDB dan 19 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Brunei TUDB.

    Sovereign’s Parade merupakan acara kemuncak latihan ketenteraan intensif yang berprestij bagi OCS ABDB dalam melengkapkan pegawai yang baru ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, kepercayaan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan.

    Latihan selama 48 minggu ini telah bermula pada 14 Februari 2022, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan khusus untuk meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat bagi memeriksa pasukan perbarisan semasa Upacara Sovereign’ Parade di Padang Kawad Akademi Pertahanan ABDB, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama salah seorang pegawai kadet. Berangkat sama, DYTM Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...