Oleh Mu’min Karim
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 642 orang bakal graduan pengambilan ke-9 Politeknik Brunei (PB) telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran bersempena Majlis Konvokesyen PB ke-8 yang berlangsung di Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran secara beramai-ramai oleh bakal-bakal graduan. Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim dan disusuli dengan Doa Khatam.
Dikir Marhaban menandakan peserta khatam tamat pembacaan 30 juzuk Al-Quran manakala Doa Penutup dipimpin oleh Imam Tingkat II, Masjid Universiti, Awang Abdul Muhaimin bin Dr Haji Serbini.
Majlis bertujuan untuk memartabatkan Al-Quran sebagai dasar segala ilmu di samping meraih keberkatan wahyu Allah SWT. Majlis Konvokesyen PB akan diadakan pada 26 Oktober depan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.