65 kes baharu, terendah sejak September lalu

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan jumlah kes jangkitan COVID-19 baharu terendah sejak kebelakangan ini (terakhir 10 September lalu, sebanyak 63 kes), dengan 65 kes baharu telah dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,130 orang.

Terdapat 35 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat beberapa kes p ositif sebelumnya, ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, satu kluster baharu dikesan melibatkan empat kes iaitu Kluster 12977 yang merupakan kluster kediaman.

Yang Berhormat Dato juga mengongsi bahawa tujuh kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaan selama 28 hari.

“Kluster-kluster yang ditutup ialah Kluster 4751; Kluster 4785; Kluster 5429; Kluster 6998; Kluster Rimba Complex; Kluster 3723 dan Kluster 6625. Oleh yang demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 170 kluster,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam pada itu, terdapat 26 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“198 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 11,289 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,752 kes,” kongsinya.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, beliau me-ngongsikan bahawa enam kes dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 13 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” kata beliau lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,159 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 504,954 ujian.