Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 65 orang pelajar Tahun 7 telah menghadiri Taklimat Kenegaraan yang berlangsung di Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait kelmarin.
Program taklimat tersebut dianjuran oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik yang disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.
Dalam taklimat tersebut beliau menyentuh mengenai raja, tatacara menaikkibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’. Turut hadir dalam taklimat tersebut, Pengurus Operasi Sekolah, Haji Ja’afar bin Ahmad.
Program tersebut juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut. Di samping itu, para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video animasi ‘Tatacara Menaikkan Bendera Negara’.
Taklimat tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.