ANKARA, 21 JAN – Kebakaran di sebuah hotel di pusat peranginan ski popular di barat laut Turkiye hari ini mengorbankan sekurang-kurangnya 66 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turkiye.
Ali Yerlikaya berkata kira-kira 51 lagi orang cedera dalam bencana tersebut.
“Kami berasa amat sedih. Kami telah kehilangan 66 nyawa dalam kebakaran yang berlaku di hotel ini,” kata Yerlikaya kepada wartawan selepas memeriksa lokasi kejadian.
Menteri Kesihatan, Kemal Memisoglu berkata seorang daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius.
Kebakaran berlaku sekitar jam 3:30 pagi di restoran hotel Grand Kartal yang mempunyai 12 tingkat di pusat peranginan Kartalkaya di wilayah Bolu, kata pegawai dan laporan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dua mangsa dilaporkan mati selepas terjun dari bangunan dalam keadaan panik, kata Gabenor Abdulaziz Aydin kepada agensi Anadolu yang dikendalikan oleh kerajaan.
Televisyen swasta NTV melaporkan bahawa beberapa orang cuba turun dari bilik mereka dengan menggunakan cadar dan selimut.
Terdapat 234 tetamu yang menginap di hotel tersebut, kata Aydin.
Necmi Kepcetutan, seorang pengajar ski di hotel itu, berkata beliau sedang tidur ketika kebakaran berlaku dan bergegas keluar dengan segera dari bangunan.
Beliau memberitahu televisyen NTV bahawa beliau kemudiannya membantu kira-kira 20 tetamu keluar dari hotel.
Beliau berkata hotel tersebut dipenuhi asap, menyukarkan tetamu untuk mencari laluan keluar daripada kebakaran.
“Saya tidak dapat menghubungi beberapa pelajar saya. Saya berharap mereka dalam keadaan baik,” kata pengajar ski itu kepada stesen televisyen tersebut.
Gambar di televisyen menunjukkan bumbung dan tingkat atas hotel dijilat api.
Saksi dan laporan berkata sistem pengesan kebakaran di hotel tersebut gagal berfungsi.
“Isteri saya terhidu asap. Sistem penggera tidak berbunyi,” kata seorang mangsa. – AP