664 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara

KUALA LUMPUR, 6 MEI – Berdasarkan maklumat daripada perwakilan Malaysia di luar negara, terdapat 664 lagi rakyat tempatan yang masih terkandas di luar negara setakat hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 190 adalah jemaah tabligh yang sedang ditahan dan dikuarantin di India iaitu New Delhi seramai 158, Chennai (23) dan Mumbai (sembilan).

“Seramai 55 orang daripada jumlah keseluruhan tabligh itu telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India.

“Kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di India masih menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada semua jemaah tabligh yang terlibat dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara termasuklah bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan asas harian,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Wisma Putra di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang mengusahakan urusan mengeluarkan jemaah tabligh yang masih berada di pusat kuarantin bagi membolehkan urusan membawa mereka pulang ke Malaysia berjalan lancar.

Sementara itu, Kamarudin berkata, 14,015 rakyat Malaysia dari 70 buah negara telah dibawa pulang sehingga hari ini. – Bernama