67% sudah lengkap dua dos

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Seramai 5,935 orang di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kelmarin (8 November), ini termasuk 5,320 orang daripada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

“Oleh yang demikian, di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, seramai 361,215 orang telah menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu 84 peratus daripada jumlah penduduk negara,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Manakala, 287,951 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 67 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambahnya.

Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 649,166 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua vaksin COVID-19, sejak ia mula diberikan pada 3 April lalu.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 415,969, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 86,277, Daerah Tutong sebanyak 74,588 dan Daerah Temburong sebanyak 72,332.