68 kes baharu di Singapura

SINGAPURA, 20 OGOS – Sebanyak 68 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Singapura dalam tempoh 24 jam dengan dua daripadanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes  sebanyak 56,099.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, dua kes import berkenaan telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian berkenaan berkata tiada kes dalam komuniti.

Sementara itu, sebahagian besar kes pula melibatkan pemegang permit kerja yang kini menjalani kuarantin.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian itu berkata terdapat 16,800 pekerja yang masih menjalani tempoh kuarantin. Sehingga tengah hari semalam, republik itu mengklasifikasikan 820 kes import, 2,209 kes dalam komuniti dan 53,002 kes melibatkan penghuni asrama. – Bernama