Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    68 maut, penjara terbakar di Venezuela

    CARACAS, 29 Mac – Insiden kebakaran yang dikatakan dirancang ketika cubaan melarikan diri daripada pusat penahanan polis di Venezuela telah mengorbankan 68 orang semalam, menurut pendakwa raya tertinggi dan kumpulan hak asasi banduan di negara itu.

    Kebakaran di pusat penahanan di negeri Carabobo merupakan insiden terbaharu dalam siri-siri kejadian yang membawa maut di penjara yang penuh sesak di Venezuela.

    “Di tengah-tengah kejadian dahsyat yang berlaku di ibu pejabat polis negeri Carabobo yang mana 68 orang terbunuh dalam kebakaran, kami telah melantik empat orang pendakwa untuk menjelaskan kejadian dramatik ini,” menurut ketua pendakwa Tarek Williams Saab menerusi Twitter.

    Carlos Nieto, ketua Una Ventana a la Libertad, berkata “sesetengah mangsa terbakar hingga mati dan yang lain kekurangan oksigen” selepas membakar tilam dan mencuri senjata seorang pengawal dalam cubaan untuk melarikan diri penjara.

    Turut terbunuh termasuk dua orang wanita yang dikatakan melawat penjara ketika insiden berlaku, menurut Nieto lagi.

    Beberapa orang ahli keluarga banduan menunggu dan bersedih di hadapan sebuah balai polis di Valencia, yang mana kebakaran di sebuah penjara telah membunuh kesemua 68 orang semasa percubaan untuk melepaskan diri dari sebuah penjara, semalam. – AFP

    Rafael Lacava, gabenor negeri Carabobo, melahirkan ‘kehairanannya’ mengenai insiden itu tetapi tidak memberikan angka kematian akibat kejadian itu.

    “Penyiasatan serius dan mendalam telah dijalankan untuk mengetahui punca dan mereka yang bertanggung jawab ke atas kejadian yang dikesali ini,” ujarnya di Twitter, dengan memberi sokongan kepada para anggota keluarga mereka yang terkorban.

    Para anggota keluarga bagi mereka yang ditahan di pusat tahanan itu cuba merempuh masuk ke ibu pejabat polis negeri Carabodo. Selepas seorang pegawai tercedera akibat terkena batu, orang ramai disuraikan oleh polis dengan melepaskan gas pemedih mata.

    Rakaman video yang dihantar ke Twitter menunjukkan berbelas-belas orang mendesak meminta bagi maklumat di hadapan polis yang mengawal tapak itu.

    “Saya adalah seorang ibu yang terdesak. Anak lelaki saya ditahan di sini selama seminggu. Mereka belum memberikan sebarang maklumat,” Dora Blanco memberitahu media tempatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda