6,840 PKS terima RM3 bilion kemudahan dana pinjaman mudah

KUALA LUMPUR, 5 MEI – Sehingga 5 Mei, 2020, sebanyak 6,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima kemudahan dana pinjaman mudah berjumlah RM3 bilion yang disalurkan kerajaan Malaysia, kata  Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan pertambahan daripada RM1.5 bilion bantuan yang melibatkan 3,363 PKS setakat 26 April lepas.

Menurutnya, majoriti jumlah ini adalah daripada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang mana PKS boleh memohon pembiayaan sebanyak RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus dan 80 peratus daripada jumlah pembiayaan dijamin kerajaan.

“Sambutan terhadap kemudahan ini amat menggalakkan dan saya berharap ia digunakan dengan penuh manfaat,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Keempat Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata bagi Skim Pinjaman Mikro Kredit, sehingga 29 April, 2020, daripada RM700 juta kredit-mikro yang ditawarkan pada kadar faedah 0 peratus oleh BSN dan TEKUN Nasional, sebanyak RM132 juta telah diluluskan.

Daripada jumlah ini, BSN telah meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS Mikro dan TEKUN telah meluluskan RM42 juta kepada 5,000 PKS Mikro. – Bernama