685 pokok diagihkan secara pandu lalu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Dalam usaha menyokong kempen kerajaan mencapai sasaran penanaman 500,000 pokok menjelang 2035, Green Brunei dengan kerjasama Mitsubishi Corporation kini sedang mengadakan kempen ‘Stay-at-Home Tree Planting’ (penanaman pokok di rumah).

Kempen juga disokong oleh Brunei Climate Change Secretariat, Jabatan Perhutanan, Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Belia Brunei menyaksikan sebanyak 685 pokok diagihkan kepada orang ramai melalui kaedah pandu lalu di Kolam Renang Anggerek Desa, Pusat Belia Tutong dan Green Depot di Kuala Belait bermula 1 sehingga 6 November lalu.

Pokok-pokok diagihkan termasuklah pokok pucuk merak dan pokok buah-buahan dan aktiviti penanaman dilakukan oleh sukarelawan yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah sehinggalah institusi pengajian tinggi, belia berkelainan upaya dan individu dari agensi kerajaan, swasta dan orang ramai.

Ia sekali gus menyokong Kempen Hari Bertindak anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku pengasas bersama Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari mengatakan, aktiviti pengagihan anak pokok akan diteruskan lagi pada tarikh-tarikh akan datang di mana orang ramai terutama para pelajar digalakkan untuk ikut serta.

Menurutnya, Green Brunei menyasarkan 1,590 anak pokok untuk diagihkan pada bulan November ini.

Kempen merupakan salah satu aktiviti di bawah Projek Jelajah Pendidikan Alam Sekitar bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu perubahan iklim dan juga menyokong empat daripada strategi-strategi di bawah Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. 

Selain daripada aktiviti penanaman pokok, projek ini juga akan melibatkan program lawatan secara maya ke Tenaga Suria Brunei dan Seria Energy Lab. 

Di samping itu, beberapa pertandingan bagi pelajar sekolah juga akan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan yang bertemakan perubahan iklim. Bagi maklumat lanjut, bolehlah melayari laman sesawang Green Brunei.

Pokok yang diterima ditanam di perkarangan rumah.
Anak-anak pokok yang diagihkan secara pandu lalu di Kolam Renang Anggerek Desa.
Antara yang menerima pokok buah berkenaan.