69 kesalahan dikesan dalam sekatan jalan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Pelbagai kesalahan telah dicatatkan dalam dua operasi sekatan jalan raya dijalankan oleh Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong dan Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), semalam.

Operasi di kawasan Lebuh raya Muara/Tutong menghala ke Tutong yang diketuai oleh Inspektor Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani bersama 21 orang anggota telah mencatatkan satu kesalahan doket dan 23 kesalahan kompaun.

Manakala operasi kedua yang melibatkan beberapa buah agensi penguatkuasa undang-undang seperti Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Badan Penguatkuasa Ugama (BPU) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mendapati 27 kesalahan kompaun, satu Notis Peringatan dikeluarkan dan 13 kesalahan di bawah JPD.

Operasi berkenaan diketuai oleh Penolong Penguasa Polis Dayangku Husmawati bte Pengiran Hussin bersama 24 anggota balai.

Di Daerah Temburong, Balai Polis Bangar juga telah menjalankan operasi sepadu sekatan jalan raya dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), JIPK, BKN, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan BPU, di kawasan Ujong Jalan dan Pos Kawalan Imigresen Sempadan Labu yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Muhammad Ajib bin Haji Ahmad Awal.

Sepanjang operasi berkenaan mendapati tiga kesalahan kompaun dan satu kesalahan di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Menurut kenyataan yang diberikan, operasi-operasi berkenaan dikendalikan bagi memastikan orang ramai sentiasa peka dan akur dengan peraturan-peraturan yang telah diperuntukkan oleh perundangan di negara ini.

Di samping itu, konsep Stop & Search dan Stop & Talk juga diterapkan semasa keseluruhan operasi berkenaan bagi tujuan interaksi, mewujudkan kepercayaan dan pendekatan bersama masyarakat awam dalam usaha membendung dan mencegah jenayah secara efektif di negara ini.

Pemeriksaan ke atas salah sebuah kenderaan.