Sunday, April 21, 2024
25 C
Brunei

    -

    696 atlet berentap dalam BDSG

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 696 orang atlet beraksi dalam empat acara sukan untuk merebut pingat emas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSG) yang julung kali dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum yang berjalan selama 10 hari bermula 19 hingga 28 November.

    Pembukaan rasmi BDSG telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, hari ini. Turut hadir semasa acara pembukaan kejohanan itu ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais dalam kata alu-aluannya berkata, kejohanan sukan dijenamakan semula supaya ia selaras dan sejajar dengan penganjuran di peringkat Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN.

    Beliau menyatakan harapan dengan sokongan daripada Kementerian Pendidikan, penganjuran BDSG akan diadakan setiap tahun untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk mewakili dalam kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    Awang Mohammad Norilham berkata bahawa bagi BDSG 2022 akan mempertandingkan sukan renang, badminton, sepak takraw dan olahraga dengan sebanyak 71 pingat emas, 71 perak dan 71 gangsa tersedia.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati menyampaikan cenderahati kepada ke-tua-ketua kontinjen BDSG.
    Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam BDSG.

    Beliau turut menyatakan bahawa dengan penglibatan yang menyeluruh dalam menjayakan kejohanan sukan itu, merupakan peluang yang terbaik dalam meningkatkan rangkaian kerjasama antara institusi pendidikan di negara ini dengan pihak yang berkepentingan.

    “Hubungan yang baik ini, sudah jelas membuktikan bahawa sukan boleh dijadikan platform yang menyatupadukan semua pihak,” tambahnya.

    Acara seterusnya menyaksikan perbarisan lalu pembawa bendera kluster-kluster dan diikuti oleh bacaan Ikrar Sukan yang diketuai oleh pelajar dari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kluster 2, Awangku Abdul Rahim At-Tarmidzi bin Pengiran Haji Mohammad Yusof dengan diiringi oleh wakil-wakil dari setiap kluster.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan Koir Lagu Tema BDSG daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Berakas dan diteruskan dengan perasmian BDSG 2022 oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati serta diperkenalkan kepada ketua-ketua kontinjen.

    Kejohanan itu disertai oleh pelajar-pelajar yang berumur 18 tahun ke bawah pada 2022 dan yang sedang menuntut dalam Tahun 7 hingga 13 di sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU. Enam kontinjen menyertai kejohanan yang terdiri daripada Kluster 1 hingga 6.

    Acara renang diadakan di Kolam Renang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, pada 19 hingga 20 November, badminton di Dewan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna pada 21 dan 22 November, sepak takraw di Dewan Sekolah Sukan pada 23 hingga 25 November dan olahraga di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Tutong pada 23 hingga 28 November.

    Kejohanan itu bermatlamat untuk mengenal pasti para pelajar berumur 18 tahun ke bawah yang berpotensi dan berbakat bagi mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) ke kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa serta sebagai persediaan kepada penyertaan kejohanan anjuran Asia Schools Sports Federation (ASSF) dan ASEAN Schools Sports Council (ASSC).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...