6ixth Sense masih wujud

Disangka sekian lama menyepikan diri, sebaliknya kumpulan 6ixth Sense diam-diam ubi, tetapi berisi.

Mereka kembali aktif merakamkan lagu baharu buat peminat.

Istimewanya, bukan satu lagu, bahkan kumpulan yang pernah popular menerusi lagu Tak Bisa Memilihmu dan Yang Sempurnakaku sedang giat menyiapkan album penuh yang memuatkan lapan lagu.

Pemain gitar, Gjie atau nama sebenarnya, Mohd Faiz Azizi berkata, album berkenaan sempena genap 17 tahun 6ixth Sense dalam industri muzik.

“Disebabkan itu, kami menamakan album ini ‘7 Belas’, sempena perjalanan 6ixth Sense dalam industri muzik sejak tahun 2003.

Sudah sekian lama menyepi, kumpulan 6ixth Sense bakal muncul dengan album baharu yang dijangka dikeluarkan penghujung tahun ini. – Agensi

“Menerusi album ini, kami mahu melakukan eksperimen. Kami tidak menyasarkan pasaran arus perdana dan dimainkan di stesen radio.

“Sebaliknya, kami mahu cuba menembusi arena ‘indie’ atau ‘underground’. Sekarang ini, kami melihat arena arus perdana lebih kepada digital, tetapi kami dahagakan persembahan dan acara. Kami lihat arena ‘indie’ masih aktif dengan perkara seperti itu,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, kata Gjie, tindakan itu bukanlah membawa maksud kumpulannya kecewa dengan arena arus perdana.

“Sudah 17 tahun dalam industri, pelbagai suka duka sudah dilalui. Nak kata kami kecewa disebabkan sambutan kurang memberangsangkan kebelakangan ini, tidak juga.

“Kami hanya mahu cuba perkara baharu bagi mengekalkan kehadiran 6ixth Sense dari segi nama, produk dan karya.

“6ixth Sense juga tak mahu peminat salah anggap kami meninggalkan arus perdana. Kami masih lagi aktif menghasilkan karya untuk penyanyi lain. Cuma, kini sedang belajar untuk menembusi arena ‘indie’ dan diharapkan hasrat kami berjaya,” katanya.

Album ‘7 Belas’ dihasilkan sepenuhnya oleh lima anggota 6ixth Sense dari kos produksi hingga strategi promosi. Ia dijangka dikeluarkan penghujung tahun ini.

Selain Gjie, Artis Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2010 itu turut dianggotai oleh Adi Priyo selaku vokalis, Wan (drum), Atan (gitar) dan Ayoy (gitar). Kali terakhir, 6ixth Sense mengeluarkan single berjudul Sebait Hati, awal tahun lalu. – Agensi