Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    7 atlet sertai Sukan Komanwel ke-22

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan penyerahan bendera negara kepada kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel ke-22, Birmingham, England.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Sukan Komanwel ke-22 secara rasminya bermula pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada tujuh orang atlet dan lima orang pegawai termasuk chef de mission, ketua urus setia, pegawai perhubungan COVID dan jurulatih.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Awang Murat dan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis tersebut.
    Duli Yang Teramat Mulia ketika berkenan menyerahkan bendera negara kepada chef de mission Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel ke-22, Birmingham, England, Pengiran Siti Amal Jariah. – Gambar oleh Infofoto
    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

    Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan bahawa meskipun jumlah kontinjen negara yang kecil, namun penyertaan yang berterusan menunjukkan komitmen negara kepada pertubuhan Komanwel dan temasya sukan di peringkat antarabangsa. 

    Apa yang turut penting, tambah beliau, penyertaan berkenaan juga akan memberikan platform kepada atlet negara untuk bersaing dengan atlet bertaraf elit.

    “Di sinilah peluang keemasan bagi biskita (atlet) untuk memperkasakan lagi kekuatan fizikal mahupun mental masing-masing,” tambah beliau.

    Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia sebelum berkenan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada chef de mission kontinjen negara, Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Matjinen. 

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa. Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama kontinjen negara.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe; Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa dan penjaga atlet.

    Pada Sukan Komanwel kali ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai dua acara sukan iaitu boling padang dan angkat berat. Negara mula mengikuti Sukan Komanwel pada 1990 dengan penyertaan terakhir adalah pada 2018 di Gold Coast, Australia.

    Kontinjen negara dijangka bertolak ke Birmingham, England pada 24 Julai ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...