7 cedera ditikam

PARIS, 10 Sept – Tujuh orang termasuklah dua orang pelancong Britain cedera di Paris lewat semalam oleh lelaki yang bersenjatakan pisau, dalam satu serangan menggerunkan yang mana orang yang berada di sana cuba menghalangnya dengan melontar bola petanque ke arah penyerang itu.

Empat orang mangsa berada dalam keadaan kritikal, menurut polis, selepas lelaki yang membawa pisau besar dan kayu besi mengamuk berhampiran terusan di timur laut ibu negara.

Suspek dipercayai warga Afghanistan dan telah diberkas, menurut sumber dekat dengan siasatan itu, sambil menambah kata dia telah menyasarkan ‘orang asing’ tetapi ‘pada tahap ini tidak menunjukkan tanda-tanda ciri pengganas’.

Kekacauan meletus di tebing Bassin de la Villette, kawasan yang popular dengan penduduk setempat dan pendatang yang kerap mengunjungi kafe, panggung wayang dan tempat kebudayaan lain di sepanjang tebingnya, selepas jam 11 malam.

Seorang saksi, Youssef Najah, 28 tahun berkata dia sedang berjalan bersebelahan terusan apabila dia melihat seorang lelaki berlari dan memegang pisau kira-kira 25.30 sentimeter panjang.

Pasukan polis semasa menjalankan siasatan di tempat kejadian yang mana seorang lelaki menyerang dan mencederakan tujuh orang dengan sebilah pisau di tebing Bassin de la Villette, Paris pada 9 September 2018. – AFP

“Terdapat kira-kira 20 orang mengejarnya. Mereka mula melontar bola petanque ke arahnya,” menurut Najah, dengan merujuk kepada sukan popular di Perancis yang juga dikenali sebagai ‘boule’.

“Kira-kira empat atau lima bola mengenai kepala lelaki itu, tetapi mereka tidak mampu menahannya,” tambahnya lagi.

Menurut saksi yang sama, penyerang itu kemudian memasuki lorong yang mana lelaki itu ‘cuba bersembunyi di belakang dua orang pelancong Britain. Kami katakan kepada mereka ‘Hati-hati, dia ada pisau. Tetapi mereka tidak memberikan tindak balas.”

Kedua-dua pelancong itu kemudian diserang, menurutnya lagi. Seorang pengawal keselamatan di salah sebuah dari dua pawagam itu yang terletak bersebelahan air berkata dia melihat penyerang itu melarikan diri daripada dua lelaki yang cuba menahannya.

Dia memberitahu AFP “Lelaki itu mempunyai sebatang besi yang dilontarnya ke arah kedua-dua lelaki yang mengejarnya, kemudian dia mengeluarkan pisau.” – AFP